Tuesday, January 11, 2011

SEJARAH DAN LATAR BELAKANG SENI SILAT SENDENG

Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah

Penggerak atau pembimbing utama yang aktif menyebarkan pembelajaran Seni Silat Sendeng ini ialah Allahyarham Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah , yang diwarisinya dari ninda-ninda beliau yang terkenal kehebatan ilmu kependekaran dan persilatan mereka sejak awal abad ke-20 yang silam.
Beliau mula mempelajari ilmu kependekaran ini sejak berusia 5 tahun (1932) di bawah asuhan dan bimbingan nindanya sendiri HAJI HASSAN BIN MAHAT yang dikenali pada zamannya dengan panggilan Haji Hassan Pendekar , mahir di bidang seni dan permainan alat silat seperti pedang, keris, tekpi, tumbuk lada, tembong, tuas, tongkat dan kerambit.
Sepuluh tahun kemudiannya beliau berguru pula dengan dua nindanya yang terkenal iaitu TAMAM DAGANG (terkenal dengan gelaran pendekar yang kebal dan gagah) untuk mempelajari pukulan / buah sendeng dan HAJI MOHD ARIFF BIN SHAMSU ,bagi mendalami permainan Pukulan Tujuh Hari.
Kedua nindanya yang terakhir ini telah berguru dengan seorang pendekar terbilang dan Pengasas Pukulan Sendeng iaitu LONG MAMAT yang menetap di Padang , Muar Johor Darul Takzim.
Dalam memantapkan ilmu keagamaan dan kerohanian pula beliau mempelajari dan mendalaminya dengan HAJI MOHD SALLEH BIN ABDUL KARIM yang terkenal dengan panggilan Kiai Salleh atau Panglima Salleh , Batu Pahat.
Beliau mula mengembangkan ilmu persilatan sendeng ini secara individu di peringkat awalnya sekitar tahun 1950-an dan kemudian menamakannya sebagai 'Silat Sendeng Muar'.
Hampir 58 tahun, beliau mengharungi liku-liku dan pahit manis menyebar dan menggembangkan ilmu persilatan ini ,demi mengekalkan kesinambungan warisan pusaka bangsa yang diwarisinyanya.Pada tanggal 19 Mei 1990 bersamaan 23 Syawal , 1410 Hijrah , beliau kembali ke rahmatullah dalam usia 63 tahun. Al - Fatihah.



Hj.Ismail bin Hj. Hamzah Guru Utama PSSSM

Pemergian Allahyarham Hj.Hamid dianggap sebagai satu kehilangan besar bagi keluarga sendeng seluruhnya. Perjuangan, pengorbanan dan jasanya terhadap Seni Silat Sendeng Malaysia mempunyai erti yang amat bermakna sekali terutama di dalam memperkembangkan SSSM ke beberapa negeri di tanahair.Berbagai cabaran,onak dan duri direntasi, ombak serta badai diharungi.Namun yang pergi tetap pergi, yang tinggal sebagai pengganti. Perjuangan memartabatkan SSSM harus diteruskan. kata pepatah 'patah tumbuh hilang berganti'.
Hj.Ismail bin Hj.Hamzah, kemudiannya telah menerajui dan meneruskan perjuangan abangnya dan ditabalkan sebagai Guru Utama.Sebagai adik kepada pengasas (Hj.Hamid) dan dibesarkan di kalangan keluarga pendekar, sudah pasti memperjuang dan menyambung amanah SSSM tidak menjadi keberatan terhadap beliau.
Kebolehan dan ketokohan semulajadi berkat bimbingan ibubapa, datuk-datuk dan abangnya, menambahkan lagi kekuatan dan semangat beliau untuk melayari bahtera sendeng mengharungi samudera yang penuh dengan seribu satu macam rintangan dan halangan.
Sejak kepimpinan Hj.Ismail, SSSM telah didaftarkan pada 1992 dan kini bergerak dengan cergas di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Kelantan dan WP Labuan.

No comments:

Post a Comment